Tuesday 30 July 2013

Pembuka jalan~

Jangan kata Allah tidak bantu.. Jangan kata Allah tidak peduli.. Jangan pernah sekali terlintas putus harapan dari Yang Maha Pencipta..

Ujian turun pelbagai rupa dan cara. Setiap kita tidak lari dari dugaan Ilahi. Itu cara Dia mendekatkan kita ke tempat asal kita. Itu cara Dia mengingatkan kita asal usul kita. Di situlah jalan menuju nikmat iman..

Jangan menangis. Jangan bersedih. Ujian tanda Allah sayang.. Kalau senang tidak putus dihadiahkan, mungkin musuh yang direjam mengambil kesempatan merasuk jiwa untuk lupa dan alpa dengan dunia. Ujian membuka mata dan hati kita, supaya kita tahu perit, kita rasa sakit, kita merintih memohon kasih yang hakiki, dekatlah kita dengan yang di atas.

Allah sayang hambaNya. Jangan putus asa. Jangan putus harapan. Allah sentiasa ada untuk hambaNya. Menangislah kerana Dia, mengadulah dengan Yang Maha Mendengar.. Kasih Allah tidak akan putus. Terutama buat hambaNya yang redha dan berpegang teguh dengan qada dan qadar Nya.

Doakan saudara yang sedang merintih menangis dengan ujian berat mereka. Doakan agar diringankan dan dirahmati. Doakan. Ujian mereka mungkin lebih besar dari kita. Kerana itu mereka lebih kenal erti dekat dengan Allah. Kerana mereka merasa nikmat kasihNya.

Belajarlah isi hati dengan yang baik dan bersih. Hati kita sangat kecil. Jangan diberi peluang untuk syaitanirrajim menghuninya. Setiap kita, pasti ada dakwat hitam perosak hati. Tapi yakinlah, di satu sudut, pasti ada cahaya, biarlah sebesar zarah, cahaya itu pasti ada. Yang mampu menyemarakkan nur itu, tidak lain hanya diri kita. Jangan anggap Allah murka, maka kita tidak dipeduli lagi. Setiap kejadian ada jalannya. Setiap kepahitan ada manis menunggu. Setiap kegelapan ada cahaya di hujungnya.

Mulakan dengan niat. Lillahitaala. Dia Maha Berkuasa. Tajdidkan niat mahu berubah. Tajdidkan niat untuk tetap iman dalam islam. InsyaAllah perlahan- lahan nur itu akan menutup noktah- noktah hitam dalam hati.. dan yakinlah, insyaAllah, satu hari, andai malaikat Izrail belum menjemput, insyaAllah, hati itu akan penuh dengan nur Nya.. amin Ya Allah..

No comments:

Recent Posts

Introduction

Recent Comments