Tuesday 18 June 2013

Ucaplah alhamdulillah ~

Kadangkala diri sendiri boleh lupa. Bila lalai mengukur murahnya rezeki orang lain, terasa diri serba kekurangan. Lumrah nafsu manusia, sentiasa merasa tidak cukup..

Saat beginilah hati boleh terganggu akidah. Rasa bersyukur mula lenyap. Mula berani mempersoalkan rezeki yang diturunkan. Mula merasa tidak disayangi dan dipeduli. Menganggap yang di atas tidak adil membahagi. Nauzubillah..

Sedang Allah itu Maha Adil. Maha Mengetahui apa yang terbaik akan sesuatu itu untuk hambaNya.

Ingatlah. Setiap yang berlaku itu sentiasa berhikmah. Kita tidak mampu jadi semewah itu, segagah itu, seindah begitu. Kenapa? Pasti semua itu sebenarnya boleh mengundang keburukan ke atas kita. Tidak semestinya buruk pada zahir. Fokus keburukan pada bahagian utama dalam diri kita, iaitu hati. Riak, takbur.. sentiasa risau harta akan berkurangan.

Kaya tidak semestinya bahagia. Mungkin si miskin lebih teruja dengan hidupnya. Maklumlah, setiap rezeki yang ada, walaupun kecil di mata kita, tapi itulah cahaya yang memarakkan rasa bahagia dan syukur dalam hati mereka..

Jadilah insan yang bersyukur. Berhenti pertikaikan rezeki orang lain. Berhenti merungut tahap rezeki sendiri. Allah sayang hambaNya yang sabar. Allah Maha Merancang. Telah tertulis jalan kehidupan kita sejak azali lagi. Berhenti risau. Tenangkan jiwa dengan bersyukur dan teruskan berusaha. Lahirkan rasa gembira bila melihat nikmat insan lain. Berdoa jika inginkan rezeki serupa, dan jangan abaikan nilai usaha.

Mulakan dengan menilai setiap nikmat yang kita ada. Dari yang kecil hingga yang besar. Lihat orang yang di bawah dari kita. InsyaAllah tenang jiwa raga..

Sungguh, ketenangan itu adalah kemuncak kehambaan terhadap Allah SWT dalam hati manusia..

Alhamdulillah Ya Allah.. Aku bersyukur atas rezeki dan kasih sayang yang Engkau kurniakan untukku dan keluargaku. RedhaMu yang aku perlukan. Golongkanlah aku dan keluargaku di kalangan hambaMu yang diredhai dan dikasihi. Amin Ya Allah..

PS: diri ini pun berimpian dan berkeinginan.insyaAllah akan berusaha semampunya.. ;)

Sunday 16 June 2013

Gagal~

Sakitnya menghadapi kegagalan. Itu lumrah kita sebagai hambaNya yang kaya dengan kelemahan dan dosa.

Jeritlah sejuat hati, nangislah sepuasnya. Andai itu mampu mengurangkan duka di hati. Tapi bangunlah dengan segar keesokkan harinya. Mulakan yang baru. Airmata dan ratapan tidak akan mengubah apa- apa. Biarpun berabad kekecewaan dizahirkan, tidak akan ada perubahan tanpa kebangkitan dari diri sendiri.

Ingatlah, gagal itu adalah guru. Hadir tanpa diundang tetapi cukup mendalam ajaran yang diberikan. Gagal itulah yang meningkatkan tahap kekuatan minda. Gagallah yang menjadi titik permulaan untuk kejayaan yang akan datang. Manisnya kejayaan itu jika didahului dengan kepahitan kegagalan.

Bangunlah andai kita tersungkur. Jangan baring terkulai terlalu lama. Ambil kegagalan itu sebagai iktibar dan dorongan untuk terus maju ke hadapan.

Istighfar dan mulakan dengan bismillah. Kuatkan iman masing- masing di dada. Tanya iman kita terhadap qada dan qadar. Sungguh setiap kejadian itu, sudah tertulis di luh mahfuz. Dan setiapnya tersirat hikmah yang Allah hadiahkan untuk hambaNya yang bersabar.. Bersyukurlah. Allah uji kerana sayang.. ;)

Recent Posts

Introduction

Recent Comments