Tuesday 18 June 2013

Ucaplah alhamdulillah ~

Kadangkala diri sendiri boleh lupa. Bila lalai mengukur murahnya rezeki orang lain, terasa diri serba kekurangan. Lumrah nafsu manusia, sentiasa merasa tidak cukup..

Saat beginilah hati boleh terganggu akidah. Rasa bersyukur mula lenyap. Mula berani mempersoalkan rezeki yang diturunkan. Mula merasa tidak disayangi dan dipeduli. Menganggap yang di atas tidak adil membahagi. Nauzubillah..

Sedang Allah itu Maha Adil. Maha Mengetahui apa yang terbaik akan sesuatu itu untuk hambaNya.

Ingatlah. Setiap yang berlaku itu sentiasa berhikmah. Kita tidak mampu jadi semewah itu, segagah itu, seindah begitu. Kenapa? Pasti semua itu sebenarnya boleh mengundang keburukan ke atas kita. Tidak semestinya buruk pada zahir. Fokus keburukan pada bahagian utama dalam diri kita, iaitu hati. Riak, takbur.. sentiasa risau harta akan berkurangan.

Kaya tidak semestinya bahagia. Mungkin si miskin lebih teruja dengan hidupnya. Maklumlah, setiap rezeki yang ada, walaupun kecil di mata kita, tapi itulah cahaya yang memarakkan rasa bahagia dan syukur dalam hati mereka..

Jadilah insan yang bersyukur. Berhenti pertikaikan rezeki orang lain. Berhenti merungut tahap rezeki sendiri. Allah sayang hambaNya yang sabar. Allah Maha Merancang. Telah tertulis jalan kehidupan kita sejak azali lagi. Berhenti risau. Tenangkan jiwa dengan bersyukur dan teruskan berusaha. Lahirkan rasa gembira bila melihat nikmat insan lain. Berdoa jika inginkan rezeki serupa, dan jangan abaikan nilai usaha.

Mulakan dengan menilai setiap nikmat yang kita ada. Dari yang kecil hingga yang besar. Lihat orang yang di bawah dari kita. InsyaAllah tenang jiwa raga..

Sungguh, ketenangan itu adalah kemuncak kehambaan terhadap Allah SWT dalam hati manusia..

Alhamdulillah Ya Allah.. Aku bersyukur atas rezeki dan kasih sayang yang Engkau kurniakan untukku dan keluargaku. RedhaMu yang aku perlukan. Golongkanlah aku dan keluargaku di kalangan hambaMu yang diredhai dan dikasihi. Amin Ya Allah..

PS: diri ini pun berimpian dan berkeinginan.insyaAllah akan berusaha semampunya.. ;)

No comments:

Recent Posts

Introduction

Recent Comments