Showing posts with label insaf. Show all posts
Showing posts with label insaf. Show all posts

Monday, 12 August 2013

Muflis akhirat ~

Bismillah..

Masih bernafas di bulan syawal. Allah beri kesempatan terus beramal di bulan kemenangan.. insyaAllah setiap detik kurniaanNya, diisi dengan manfaat akhirat..

Bila berkumpul sesama saudara, sahabat handai, macam- macam karenah kita nampak.. yang cantik, alhamdulillah..jadikan ikutan.Tapi yang kurang indah dipandangan, jadikan teladan dan peringatan..

Saya lihat, mainan lidah memang merisaukan. Mengumpat, menghina, mencaci.. lembutnya lidah, tapi tajamnya jangan dipandang remeh. Kerana lidah juga, mampu merosakkan amal baik kita selama ini..

Sabda Rasulullah SAW :
"Siapa yang muflis? Mereka yang muflis itu bukanlah yang tidak memiliki harta atau tempat tinggal. Sesungguhnya mereka yang muflis itu adalah orang yang tidak menunaikan hak orang lain, seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya."
-Riwayat Muslim.

Nauzubillah.. sebenarnya, golongan yang muflis di akhirat asalnya banyak pahalanya. Banyak amalnya. Tapi dalam masa yang sama, dia buat kejahatan terhadap manusia yang lain.. menzalimi mereka, tidak menunaikan hak mereka, mengumpat memfitnah mereka..

Di akhirat nanti, tidak ada lagi wang ringgit jadi tebusan. Pahala kita diambil menggantikan kejahatan terhadap hambaNya yang lain, kalau pahala itu tidak memadai, kejahatan orang itu akan diletakkan ke atas kita. Cantik kan balasan Allah? Adil, saksama. Tidak ada cacat celanya.

Di sini, dosa yang paling banyak melibatkan hak orang lain, adalah lidah. Dosa lidah boleh menyebabkan orang yang kaya amalan baiknya, jadi miskin papa di akhirat kelak. Merayu belas kasihan orang lain nanti, sudah cukup terlambat. Balasan akhirat yang perit menanti..

Apabila kita manabur fitnah, mangadu domba, mengumpat, mainan dosa lidah ini wajib ditebus dengan orang yang terlibat.. minta maaf, mohon redhanya. Kalau tidak sempat akibat dijemput malaikat maut, maka pahala di akhirat nanti jadi tebusan. Rugi, teramat rugi.

Dunia semakin tua. Tanda- tanda akhir zaman semakin banyak dan jelas. Kenapa masih lalai dibuai mainan dunia? Sedangkan akhirat bakal menjemput tidak lama lagi. Wallahualam. Dia Yang Maha Mengetahui apa di hadapan kita.

Imam al Ghazali pernah berkata, "dari lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat, dan membicarakan sesuatu dengan cara yang kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan."

Astaghfirullah. Diri sendiri banyak melakukan dosa lidah. Sedar atau tidak, sengaja atau tidak, memang bertimbun dosa yang sedia ada. Apatah lagi mahu menebus dosa terhadap orang lain. Ya Allah, layakkah aku mencium bau syurgaMu? Ampuni hambaMu yang hina ini Ya Rabb..

Banyak cakap, banyaklah celanya. Sebab itu kita disaran berdiam diri, jikalau tidak ada perkataan yang baik mahu diperkatakan. Diam itu lebih baik..

Minta Allah pelihara kita semua. Bila- bila masa ajal boleh menjemput. Ingatlah, tidak ada dalam al quran menyebut orang muda takkan mati.. Taubat, kembali ke jalan Nya. Allah sayang.. selagi berkesempatan, bersihkan hati dan jasad dari noda mainan dunia. Ingat akhirat. Ingat mati.

Jom sama- sama perbaiki diri.. Bismillah..

Friday, 26 July 2013

Rintihan pencinta dunia~

Bersyukur atas kasih Yang Maha Esa. Masih diberi kesempatan menikmati bulan mulia, penuh barakah.. Alhamdulillah..

Ramadhan, bulan di mana kita berusaha mengumpul sebanyaknya amalan untuk bekalan akhirat nanti. Syaitan dirantai. Hanya nafsu penggolak iman sendiri.

Kadang- kadang, diri ini rasa selamat tanpa kehadiran makhluk yang direjam. Sedang hakikatnya, nafsu yang sudah lama dididik untuk tunduk dengan dosa, masih boleh menggugat iman di bulan mulia ini.

Ramadhan kali ini, berat hati. Sesak jiwa. Sungguh Allah menguji kesabaran hambaNya ini dengan penangan kesedihan, kesakitan yang tidak berhenti. Allahuakbar. Kasihani hambaMu ini Ya Rabb. Aku tahu turunnya ujian Mu itu kepada hambaMu yang mampu memikulnya. Aku mampu, dengan izinMu. Tapi, bantu aku Ya Allah.. kadang- kadang jasad yang lemah ini tersasar dari arah yang sepatutnya..

Bersedih.. menangis.. itu lumrah kita sebagai hamba. Semua itu nafsu manusia biasa. Mengalirnya air mata tanda hati kita merintih memohon simpati. Menangis mengasihani nasib diri. Menangis itu boleh membawa kita semakin dekat kepada Yang Maha Pengasih.

Tapi, ampuni aku Ya Allah.. aku semakin jauh dari Mu..

Ujian yang Engkau turunkan kali ini, mencabar imanku. Aku lemah, menangisi nasibku. Aku menyalahkan hambaMu yang lain. Aku marah tanpa sebab jelas. Aku putus asa dari memohon maghfirahMu. Aku terus rosakkan hati aku dengan amarah, benci. Sepanjang hari, biarpun berlapar dahaga, hati aku kenyang dengan sifat mazmumah yang Engkau larang. Ampuni aku Ya Allah.. aku semakin jauh dariMu..

Kenapa perlu ditangisi hal dunia yang sementara? Menangis kerana gagal peperiksaan. Menangis kerana putus ikatan kasih. Menangis kerana kehilangan orang tersayang.. wajarkah kita menangis kerana dunia yang besar di mata kita, sedangkan kecil di sisi Allah azzawajalla?

Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Inilah timbangan sebenar hal dunia di sisi Nya. Jadi atas alasan apa kita bersedih, gelisah kerana dunia semata- mata?  Astaghfirullah..

Aku semakin jauh dariNya. Aku lalai mencintai dunia sedang akhirat yang kekal selamanya. Ya Allah, aku malu. Kerdil hinanya aku. Aku rindu cahaya Mu Ya Allah.. hilangkanlah gundah di hati ini dengan kasih Mu.. aku rindu ketenangan kurniaanMu.. Aku malu meminta- minta dengan gelumang dosa ku ini..

Terima kasih Ya Allah.. belaian kasihMu menyedarkan aku. Aku menangis kerana ingin dekat kembali padaMu. Aku merindui ketenangan yang pernah Engkau hadiahkan untukku. Aku ingin kembali ke jalan itu. Tetapkan hatiku Ya Allah.. Biarlah kebangkitan hari ini kekal dalam jiwaku, agar aku tidak terus sesat ke jalan yg yang jauh dariMu.. kuatkan imanku Ya Allah..

Aku mahu berubah. Itu permulaan perjalananku kali ini. Aku mahu cinta aku hanya pada Yang Maha Pencipta. Jauhi aku dari cinta duniawi Ya Rabb. Pelihara hati ini dari nafsu dunia semata..

Tenanglah wahai jiwa yang kusut. Allah ada. Allah ada..

*doakan aku.. bantu aku kembali ke tujuan asal aku dilahirkan di dunia ini..

;'(

Recent Posts

Introduction

Recent Comments